Thursday, January 31, 2013


Tiada Lain Melainkan-Mu

 Ya Allah
Aku meminta kepada-Mu
Kerana aku hamba-Mu
Dan kerana aku hanya ada diri-Mu
Aku tiada tempat bergantung
Melainkan hanya kepada-Mu
Tiada lagi tempat kuserahkan urusanku
Melainkan hanya kepada-Mu
Aku jatuh
Hanya pada-Mu ku berpaut
Aku kecewa
Hanya pada-Mu kupunya harap


Ya Allah
Jadikan aku redha untuk segala-galanya
Yang aku pinta tapi tidakku perlu
Yang aku harap tapi tidakku hendak
Dengan yang sebenar-benarnya
Kerana aku tahu
Apa yang dari-Mu itulah yang indah
Yang pahit itulah ada kemanisan


Ya Allah
Untuk terus merasa ketenangan
Aku hanya mengharap sebuah kurnia
Berupa jiwa yang tabah
Tidakku persalahkan manusia lain
Atas apa yang aku tidak dapati
Tidak pula aku menyalahkan takdir-Mu Ya Ilahi
Kerana aku tahu
Setiap yang datang dari-Mu
Adalah baik untukku
Dan ia akan jadi indah
Bila tiba masa dan ketikanya


Ya Allah
Terima kasih untuk ujian yang bertandang
Kau berikan aku kekuatan demi kekuatan
Untuk terus melaluinya
Kerana aku belajar tentang sabar dan redha
Yang tidak aku dapati
Jika hanya menyelam di dasar indah sebuah kehidupan


Berikan aku jiwa yang utuh
Hati yang yakin dengan janji-Mu
Bahawa Engkau akan berikan cinta-Mu
Kepada orang yang mencintai-Mu
Dan akan menyatukan manusia-manusia yang saling mencintai kerana-Mu
Jadikan aku di antara mereka
Yang saling mencintai
Kerana-Mu


Allahumma ameen

No comments:

Post a Comment