Kisah Kecintaan Rasulullah Kepada Cucu-Cucunya
Rasulullah SAW sangat sayang pada cucu-cucunya. Terdapat banyak
peristiwa yang menunjukkan betapa mendalamnya kasih baginda terhadap
mereka.
Sewaktu Sayyidina Hassan dan Hussin masih kecil,
apabila Rasulullah SAW sembahyang, baginda meletakkan mereka di
sampingnya. Kedua-dua cucunya ini memperhatikan gerak gerik baginda
dalam sembahyangnya. Bahkan, ketika
baginda sujud, kedua-dua anak itu melompat ke belakang baginda. Maka ada
seseorang yang mencoba melarang kanak-kanak itu, tapi baginda
mengisyaratkan supaya dibiarkan saja kedua-dua cucunya bermain di
belakangnya.
Jika Rasulullah SAW hendak mengerjakan sembahyang, maka baginda meletakkan Hasan dan Husain. Kemudian baginda bersabda:
“Sesiapa yang kasih kepadaku hendaklah ia kasih kepada yang dua ini (Hasan dan Husain).
Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar bertemu dengan kaum muslimin,
sedang bersamanya ada Hasan dan Husain. Seorang di bahu kanan dan yang
seorang lagi di bahu kiri. Baginda mencium Hasan, kemudian mencium
Husain pula.
Ketika Rasulullah SAW membawa Hasan dan Husain,
tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Ya Rasulullah, apakah
engkau sangat cinta kepada mereka berdua?” Baginda terus menjawab,
“Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi kedua cucuku ini maka bererti telah
mengasihi aku, dan sesiapa yang memarahinya bererti ia memarahi aku.”
Umar bin Khattab pernah menyaksikan Rasulullah SAW sedang mengendong
Hasan dan Husain, seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu
kiri baginda. Maka Umar berkata kepada Hasan dan Husain, “Kuda yang
paling baik ialah di bawah kamu (Rasulullah) .” Rasulullah melirik
kepada cucunya lalu berkata, “Dan penunggang kuda yang paling mahir
adalah kamu berdua.”
Di dalam rumahnya sendiri, Rasulullah SAW
membawa Hasan dan Husain di atas belakangnya, kemudian baginda berjalan
dengan tangan dan kaki sambil berkata: “Unta yang paling baik ialah unta
kamu, dan sebaik-baik pasangan ialah kamu berdua.”
Pada suatu
hari Rasulullah SAW diundang makan ke rumah seorang Sahabat. Ketika
baginda dan para Sahabat berjalan menuju rumah orang yang mengundang
makan itu, baginda melihat Husain sedang bermain-main dengan kanak-kanak
di tengah jalan. Baginda ingin bergurau dengan Husain, maka baginda
berjalan lebih laju sehingga baginda agak ke depan berbanding
rombongannya. Apabila tiba dekat Husain, baginda membuka kedua-dua
tangannya sambil mengisyaratkan supaya Husain melompat kepadanya. Lalu
Husain melompat ke arah baginda dan beliau tertawa sambil mendakap serta
mencium Husain sambil bersabda:
“Husain sebagian dari diriku, dan aku sebagian darinya. Allah mengasihi orang yang mengasihi Husain.”
Pernah berlaku, ketika para Sahabat duduk di sekeliling Rasulullah SAW
ketika matahari hampir tenggelam, maka datang orang memberitahu baginda
bahwa Hasan dan Husain telah hilang entah ke mana.
Mendengar yang demikian membuat Rasulullah takut lalu berkata kepada para Sahabat, “Bangkitlah kamu, pergi cari anakku!”
Kemudian baginda mengajak salah seorang di antara Sahabat ikut
bersamanya. Rasulullah SAW menyeru semua Sahabat supaya sama-sama
mencari Hasan dan Husain sebelum malam tiba, tapi tidak juga ditemui.
Tiba di suatu tempat, melihat Hasan dan Husain berpelukan dan amat
ketakutan karena di hadapan mereka ada seekor ular besar yang dari
mulutnya keluar api.
Dengan pantas, Rasulullah SAW mengambil
perhatian ular itu supaya beralih kepadanya. Tidak lama kemudian ular
itu pergi ke celah-celah batu. Baginda terus mengambil Hasan dan Husain,
memisahkan keduanya, lalu menyapu wajah keduanya. Sambil memeluk
keduanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Demi ayah dan ibuku, kamu berdua teramat mulia di sisi Allah.”
Sesudah itu barulah nafas Hasan dan Husain kembali seperti biasa.
Kemudian baginda pun mengangkat keduanya, seorang ke bahu kanan dan
seorang lagi ke bahu kirinya.
Pernah berlaku, Rasulullah sudah
berdiri di atas mimbar, lalu baginda berkhutbah kepada umat Islam. Maka
datanglah Husain ke dalam masjid sedangkan di lehernya ada perca kain
yang ditarik dan dihulur-hulurkannya .
Husain pun berjalan di
celah-celah jemaah Jumaat yang sedang duduk mendengar khutbah dari
Rasulullah. Perca kain itu dihulur dan ditarik-tariknya. Tiba-tiba kaki
Husain tersandung lalu jatuh dengan mukanya ke tanah.
Melihat
itu, Rasulullah SAW meluru ke arah Husain. Apabila orang lain melihat
baginda datang, maka mereka cepat mengambil Husain dan memberikannya
kepada baginda. Husain diciumi Rasulullah sambil mengucapkan:
“Semoga Allah membunuh syaitan, dan sesungguhnya anak adalah fitnah.”
Ketika itulah baginda memandang kepada sidang jemaah sambil meminta
maaf. Baginda berkata, “Demi Allah, aku tidak sedar telah turun dari
mimbar hinggalah aku mendatanginya (Husain).”
Pernah Rasulullah
SAW masuk ke rumah puterinya Fatimah bertujuan untuk berziarah dan
memberi ketenangan jiwa kepadanya, lalu baginda bertanya tentang keadaan
dirinya dan rumah tangganya. Baginda juga bertanya tentang suami dan
anak-anaknya.
Rasulullah berkata kepada Fatimah, “Suruhlah
suami dan anak-anakmu datang ke mari.” Lalu Fatimah memanggil mereka
semua, maka mereka pun datang sambil memberi salam kepada Rasulullah dan
menyambut kedatangan baginda dengan gembira. Dalam kesempatan itu
Rasulullah bergurau senda dan beramah mesra dengan mereka.
Setelah suasana telah tenang maka baginda menyuruh mereka duduk di hadapannya lalu baginda berdoa untuk mereka:
“Ya Allah, mereka ini adalah keluarga Muhammad. Berikan rahmat dan
keberkatan-Mu kepada mereka sebagaimana telah Engkau berikan kepada
keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia. Ya Allah,
inilah keluargaku, hilangkanlah dari mereka kekotoran dan bersihkan
mereka dengan kesucian. Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha
kepada mereka.”
“Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah
kamu berhias seperti dandanan perempuan jahiliyah yang dahulu, dan
dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat, dan ikutlah Allah dan
Rasul-Nya. Allah hanya mengkehendaki, supaya Dia menghilangkan kekotoran
(dosa) daripadamu, hai ahlul bait dan supaya Dia membersihkan kamu
dengan sebersih-bersihnya.” QS Al Ahzab: 33
Wallahua'lam.
اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ اٰلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّد
No comments:
Post a Comment